Saturday 29 August 2009

Zakat tidak sama dengan cukai




Oleh SITI AINIZA KAMSARI - Utusan Malaysia


GOLONGAN Asnaf pasti gembira dengan pemberian zakat dan diharapkan mereka akan keluar dari kemiskinan dan menjadi golongan yang menunaikan zakat pula.

ANDA mengambil kesempatan untuk berniaga di sepanjang bulan Ramadan ini. Walaupun hanya untuk sepurnama namun jualan yang sebulan ini mampu menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Namun mungkin juga seperti anda, ramai peniaga Islam bermusim seperti ini tidak mengetahui atau tidak pasti akan satu perkara!

Bahawa anda sebenarnya wajib untuk membayar zakat perniagaan selepas cukup tempoh sebulan anda berniaga itu!

Perkara ini ditegaskan oleh Pengarah Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Prof. Madya Syed Mohd. Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa.

"Ini kerana walaupun untuk tempoh sebulan sahaja, tetapi tempoh perniagaan itu sebagai memenuhi syarat mengeluarkan zakat iaitu genap haul, iaitu sebulan berniaga," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerjanya 'Pelaksanaan Zakat Perniagaan & Hubungannya Dengan Cukai Korporat' pada seminar Zakat Perniagaan dan Pendapatan 2009 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Syed Mohd. Ghazali Wafa yang juga pakar dalam bidang Muamalat Islam seterusnya menjelaskan secara terperinci dan komprehensif mengenai zakat perniagaan.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, dianggarkan terdapat 13,055 syarikat (dari 43,266 syarikat) yang dimiliki oleh bumiputera Islam berdaftar di Wilayah Persekutuan.

Katanya, syarikat-syarikat yang berpotensi untuk tunaikan zakat perniagaan ini digalakkan merujuk dan berunding dengan PPZ bagi membolehkan mereka menunaikan zakat dengan lebih mudah terutama melibatkan soal perkiraan atau akaun zakat.

"Ini kerana setiap syarikat tentunya mempunyai pelbagai bentuk profil dan isu. Ini termasuklah sama ada anak-anak syarikat yang bernaung dalam satu kumpulan syarikat besar wajib untuk mereka membayar zakat perniagaan.

"Juga bagaimana menentukan sesebuah syarikat pelaburan dapat ditentukan dari aspek nisab dan haul untuk membayar zakat, bagaimana zakat perniagaan sesebuah syarikat yang mempunyai pemilikan bercampur (Islam dengan bukan Islam) dan sebagainya lagi," katanya.

Secara amnya, sesebuah syarikat itu wajib membayar zakat apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Ia termasuklah Islam, aset syarikat mestilah harta yang halal, cukup nisab pada akhir haul, genap haul, aset perniagaan milik sempurna, produktif dan niat untuk berniaga.

Penceramah dan perunding motivasi, Mohd. Fauzi Mustafa dalam kertas kerjanya 'Zakat Pendapatan: Perspektif Masyarakat dan Perlaksanaannya' pula menyentuh pelbagai aspek dan isu mengenai zakat pendapatan yang kerap juga dipanggil sebagai Zakat Gaji.

Di samping mengakui persoalan sikap yang masih tidak banyak berubah di kalangan umat Islam untuk menunaikan zakat, beliau berkata, jalan keluar boleh dicapai dengan setiap negeri mengeluarkan enakmen bagi mewajibkan zakat pendapatan.

"Jika ada kesedaran pun apabila dengan membayar zakat ini dapat dikecualikan mereka dari membayar cukai. Mereka lebih memerlukan resit untuk pengecualian itu berbanding untuk tujuan ibadat," katanya.

Namun tidak kurang yang mendakwa zakat pendapatan tidak lagi wajib ditunaikan jika individu Muslim itu menunaikan tanggungjawab terhadap pemerintah dengan membayar pelbagai jenis cukai.

Malah dianggap cukai yang dibayar itu boleh dianggap sebagai zakat. Ia sebagaimana yang menjadi pendapat oleh sesetengah ulama kerana dianggap kejam apabila kedua-dua tanggungjawab ini wajib ditunaikan oleh umat Islam.

Namun pendapat kedua, secara tegas mengatakan cukai sama sekali tidak boleh dianggap sebagai zakat kerana kedua-duanya merupakan tanggungjawab yang berasingan.

"Ibnu Hajar Al Haithami menyatakan bahawasanya barang siapa yang menganggap cukai sebagai zakat adalah orang yang fasiq.

"Dalam hal ini juga bekas Sheikh Al Azhar, Sheikh Mahmud al Syaltut menetapkan zakat bukanlah cukai walaupun sesetengah menganggap zakat dan cukai itu mempunyai banyak persamaan.

"Tetapi mempunyai banyak perbezaan terutama dalam soal dasar, sumber, syarat, kadar, tujuan, pembahagian dan kedudukannya. Antara kewajipan agama dan keperluan sosial adalah dua aspek yang berbeza," katanya.

Sementara itu Pengurus Baitulmal MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail turut menarik perhatian seramai 200 peserta dari 104 buah syarikat ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk 'Mekanisme agihan Zakat di Wilayah Persekutuan'.

Ini apabila beliau yang juga Penolong Pengarah (Penyelidikan) Muamalat dan Sosial Ekonomi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan bagaimana setiap sen wang zakat yang diinfakkan oleh umat Islam itu dibelanjakan tidak sahaja bagi memenuhi keperluan semasa. Tetapi yang penting agihan itu dibuat mengikut piawaian syariat Islam.

Ini apabila ramai yang menyatakan kemusykilan apabila kutipan zakat sering menunjukkan terdapat lebihan tetapi masalah fakir miskin di negara ini masih tidak dapat diatasi.

Namun Dr. Muhammad Yamin berkata, terdapat perkembangan positif di kalangan asnaf apabila status mereka kini semakin baik dan menjadi pembayar zakat.

Namun, golongan miskin baru sentiasa lahir dalam masyarakat sekali gus bermakna usaha berterusan melalui agihan kutipan zakat masih diperlukan bagi mengurangkan kadar kemiskinan tersebut.

"Namun apa yang jelas, agihan zakat kepada asnaf-asnaf yang lapan itu itu mempunyai kaitan rapat dengan soal pembangunan bagi menepati konsep memberi joran.

"Ini meliputi program pembangunan sosial, insan, ekonomi, pendidikan dan institusi agama," kata beliau.

Malah jika lihat satu persatu dalam program pembangunan sosial sahaja ia meliputi pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan membina, baik pulih dan bayaran sewa rumah asnaf, bantuan penempatan Darus Saadah (wanita yang bermasalah), Darul Kifayah (asrama anak yatim dan miskin), bantuan bulanan sehinggalah bantuan rawatan dialisis.

Pendek kata, senarai bantuan dari agihan adalah panjang dan setiap bantuan akan meningkat pada jumlahnya ekoran dari perkembangan ekonomi semasa.

Pembentang kertas kerja terakhir bertajuk 'Zakat Membentuk Keluarga Bahagia' ialah Datuk Siti Norbahyah Mahamood.

Antara lain, beliau menegaskan keluarga yang sentiasa prihatin dan mempunyai kesedaran yang tinggi untuk berzakat maka akan lahir keluarga yang sempurna.

"Iaitu selaku ketua keluarga, suami yang menyintai dan menghormati isterinya dan isteri pula akan lebih menghormati dan mentaati suaminya.

"Anak-anak pula akan begitu menghormati kedua-dua ibu bapa kerana berjaya menjadi contoh yang baik dalam soal ibadat, kebajikan dan sedekah yang sekali gus menjadi jejak untuk diikuti oleh si anak dalam sepanjang meniti usia mereka.

Cara urus wang perlu dijadikan subjek di sekolah




PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong tulisan Dr. Rusinah Siron berhubung gaya hidup melebihi kemampuan yang sememangnya menjadi salah satu teras perjuangan CAP untuk semua pengguna.

Sejak ditubuhkan lagi, CAP terus memperjuangkan gaya hidup sederhana, berjimat cermat dan menentang sama sekali gaya hidup yang mementingkan kemewahan, pembaziran dan pemborosan.

Menyedari kepentingan untuk mendidik pengguna mengenai selok-belok kewangan, maka pada tahun 1980-an lagi CAP telah menerbitkan sebuah buku berjudul Anda dan Wang Anda sebagai panduan umum untuk pengguna mengenai cara menguruskan wang secara lebih bijaksana, mengetahui hak mereka dan mengelak daripada ditipu.

Betapa ramainya daripada kita yang kurang bijak dalam menguruskan soal kewangan serta menjadi bingung apabila berhadapan dengan masalah kewangan kerana kurang arif mengenai cara mengurusnya maka CAP telah mengeluarkan buku Panduan CAP Mengenai Cara Mengurus Wang dan lain-Lain.

Salah satu perkara terbaik yang ibu bapa boleh mengajar kanak-kanak ialah tabiat mengurus wang dengan bijak.

Kanak-kanak yang mempelajari kemahiran menguruskan wang yang baik akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk menjadi orang dewasa yang boleh membuat keputusan kewangan dan tidak mengalami masalah kewangan.

Sebagai panduan khusus untuk ibu bapa dan remaja, CAP juga telah menerbitkan sebuah buku kecil mengenai Wang dan Kehidupan Ketika Usia Muda memandangkan kira-kira lapan peratus rakyat Malaysia yang bankrap berusia antara 20 dan 30 tahun.

Lebih kritikal lagi ialah masalah kewangan atau lebih tepat lagi salah urus perbelanjaan kini turut menjalar dalam kalangan golongan berpendapatan rendah di desa dan juga di bandar.

Ini berlaku kerana ibu bapa tidak menyemai dan mendidik anak-anak bagaimana menguruskan kewangan dengan lebih baik sejak dari usia muda lagi.

Yang pasti ialah anak muda sekarang semakin berdepan dengan masalah pengurusan kewangan yang berbeza serta lebih sukar daripada generasi masa lalu.

Ramai orang percaya kehidupan yang baik hanya dinikmati jika seseorang itu memiliki kad kredit, kondominium, kereta, keahlian kelab, dan wang, tanggapan seumpamanya bukan sahaja bersifat materialistik malah tidak betul.

Terperangkap dalam hutang dan tidak mampu untuk keluar daripadanya adalah antara trauma yang paling besar dalam kehidupan.

Ia boleh menyebabkan anda terbeban dengan kehidupan yang resah serta keluarga yang porak-peranda.

Salah satu sebab orang sering terperangkap dalam hutang ialah kerana merasakan mereka perlu mengikut arus “tuntutan gaya hidup masa kini”, walaupun tidak mampu.

Dalam usaha mendidik pengguna berhubung perkara ini CAP juga telah mengeluarkan buku Hentikan Boros dan Hutang sebagai panduan.

Mengendalikan wang dengan bijak merupakan kemahiran hidup yang penting untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia hari ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa cara mengendalikan wang ini perlu menjadi sebahagian daripada subjek kemahiran hidup yang diajar di sekolah dan memasukkannya ke dalam kurikulum sekolah.

– S. M. MOHAMED IDRIS,

Presiden PersatuanPengguna Pulau Pinang.

Mendidik anak menguruskan wang


KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) – Di Amerika Syarikat, satu kajian mengenai pengurusan wang dibuat oleh Majlis Pendidikan Tabungan Rakyat Amerika dan Institut Penyelidikan Faedah Pekerja pada 2001.

Hasil kajian itu telah mendedahkan satu fakta menarik di mana majoriti ibu bapa merasa yakin terhadap pemahaman mereka menguruskan wang.

Dalam pada itu, kajian itu turut membongkarkan sikap dan tindakan negatif ibu bapa di mana 55 peratus daripada mereka menanggung hutang kad kredit setiap bulan.

Lebih memeranjatkan adalah kurang daripada separuh ibu bapa mengakui mereka mempunyai bajet yang dirancang.

Walaupun kajian itu dibuat di Amerika Syarikat, namun ada kemungkinan senario ini boleh berlaku di Malaysia.

Persoalannya, sebagai ibu bapa, berapa ramaikah antara kita mendidik anak sejak kecil mengenai cara menguruskan wang dengan bijak, misalnya menggalakkan mereka menabung dalam tabung?

Yang pasti, sesetengah ibu bapa tidak begitu terdedah dengan pengurusan kewangan semasa kecil dan setelah berkeluarga dan mempunyai anak, mereka merasa tidak begitu selesa mengenai tanggungjawab keibubapaan mengenai aspek ini.

Apa tah lagi, mereka sendiri tidak begitu yakin dengan keupayaan dalam kemahiran pengurusan kewangan sendiri.

Apa pun, sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik anak mengenai pengurusan kewangan agar mereka akan lebih berkeyakinan dan bertanggungjawab kemudian hari.

WANG DAN KANAK-KANAK

Tabiat mengurus wang harus disemai sejak awal, seawal mereka tahu mengira dan tahu menggunakan wang. Bak kata pepatah,”Melentur buluh biarlah dari rebung.”

Seelok-eloknya semaikan tabiat itu seawal umur 13 tahun dan usah tunggu hingga remaja. Bila menjangkau usia remaja, mereka terlalu sibuk dengan dunia remaja.

Usah biarkan kawan mereka yang tiada kemahiran menggunakan wang menjadi ‘guru’ kepada anak anda.

Kaedah mendidik anak menguruskan wang juga berbeza mengikut umur.

Berikut adalah panduan kaedah mengikut umur seperti yang disyorkan oleh Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) dalam bukunya mengenai ‘Kewangan Individu’.

* UMUR 3 – 5 TAHUN

Anak dalam usia seawal ini biasanya tahu apa itu wang melalui pemerhatian daripada tindak-tanduk ibu bapa.

Bawa anak anda bersama semasa membeli-belah dan mula menerangkan mengenai wang dengan menunjukkan berapa harga setiap barang.

* UMUR 6 – 7 TAHUN

Perkenalkan sistem elaun untuk setiap hari atau setiap minggu. Matlamatnya adalah untuk memberi peluang kepada mereka supaya bijak berbelanja dan menyimpan wang yang ada di tangan mereka.

* UMUR 8 – 10 TAHUN

Ibu bapa perlu menjelaskan perbezaan elaun yang diberikan kepada anak-anak berdasarkan usia dan keperluan perbelanjaan.

Biarpun wujud percanggahan pendapat mengenai berapa kerap elaun yang elok diberikan kepada anak, namun yang penting, pemberian elaun itu boleh mendidik mereka beberapa perkara penting seperti bagaimana untuk menggunakan sumber kewangan secara bijak, berwaspada semasa membeli supaya sumber kewangan itu boleh digunakan untuk jangka panjang.

Ibu bapa paling arif untuk menentukan kaedah yang sesuai dengan kematangan anak mereka.

* UMUR 11 – 14 TAHUN

Ajak anak untuk menyertai perbincangan mengenai bajet keluarga supaya mereka tahu ke mana wang disalurkan.

* UMUR 16 – 18 TAHUN

Bantu anak untuk menjadi lebih berdikari dengan mendapatkan mereka kad ATM. Galakkan mereka menambahkan simpanan dengan bekerja sambilan terutamanya pada cuti persekolahan.

Ajar mereka cara mengendalikan rekod kewangan yang boleh memantau segala pendapatan dan perbelanjaan.

PANDUAN UNTUK IBU BAPA

ACCA turut menawarkan beberapa panduan untuk ibu bapa sebagai ‘bekalan’ dalam menjayakan usaha mendidik anak menguruskan wang. Antaranya ialah:

* Sebelum mendidik anak cara menguruskan wang, pastikan ibu bapa boleh mencerminkan diri mereka sebagai ‘role model’. Cara berkesan mendidik anak menguruskan wang adalah melalui teladan kita sendiri.

Penggunaan kad kredit mungkin menggambarkan persepsi yang salah iaitu kita ada akses untuk ‘wang yang tiada had’. Jadi, mungkin kita patut mengurangkan penggunaan kad kredit ini supaya lebih mudah diterangkan penggunaan wang kepada anak.

* Sebelum keluar membeli-belah, penting untuk ibu bapa dan anak menyenaraikan barangan yang ingin dibeli. Ini menjadikan anak kita tahu adanya had berbelanja.

* Jika anda melatih anak mendapatkan barangan yang diingini dengan menyimpan sendiri duit, maka barang itu pasti akan lebih dihargai.

* Tonjolkan teladan yang baik seperti tunduk untuk mengutip wang yang jatuh atau mengira balik wang baki yang diterima setelah membayar dan tidak terus menyumbatnya ke dalam dompet. Biarpun tindakan sebegini agak kecil, namun ia memberi impak yang besar kepada anak untuk menilai harga wang.

* Pastikan juga rekod kewangan disimpan dengan kemas dan susunan teratur seperti perancangan kewangan dan bajet. Dan fahami trend perbelanjaan wang keluarga.

* Luangkan waktu lapang secara berkualiti dengan bermain permainan seperti ’saidina’ atau ‘monopoly’. Ia bukan sahaja menyeronokkan atau menghiburkan malah boleh mendidik anak memahami konsep melabur. Juga timba ilmu menguruskan kewangan melalui bahan-bahan bercetak dan internet.

* Awasi perkembangan dan kemajuan anak melalui perbincangan yang boleh dilakukan di rumah sewaktu lapang. Terangkan aspek-aspek yang praktikal mengenai pengurusan wang seperti menabung berbanding berbelanja, membuat pembelian yang bijak memandangkan pengurusan wang yang bijak boleh membantu anak-anak menetapkan matlamat dalam hidup mereka kelak.

Pendek kata, ilmu mengurus wang amat penting kerana ia akan menentukan keselesaan dan kemewahan hidup seseorang kelak. Ibu bapa berperanan membentuk pemikiran dan tabiat anak dalam menguruskan wang kerana ia adalah usaha murni yang memberi kesan berpanjangan sepanjang hayat.

Hakikatnya, jika ibu bapa tidak mahu anak mereka terus jumud dalam soal wang, giatkan usaha proaktif mendidik anak supaya ‘celik wang’.

Sunday 23 August 2009

Selamat Menyambut Ramadhan


Saturday 15 August 2009

Bersedekah pada yang memerlukan


Kalau anda mahu jadi kaya, maka anda kena rajin menderma. Lagi kesempitan wang, lagi rajin anda menderma. Anda mesti sentiasa membantu orang lain yang memerlukan. Jadikan ia tabiat sepanjang hayat anda.

Logiknya mudah. Kalau anda mahu orang lain senyum kepada anda, maka anda senyumlah kepada orang lain. Siapa mahu memberikan senyuman yang manis mereka kepada anda kalau anda sendiri bersifat sombong?

Malangnya, ramai daripada kita melakukan sebaliknya. Kita selalu memberikan sedekah sekiranya ada lebih. Kita tidak mahu menjadikan ia sebagai satu rutin yang wajib dilakukan. Malah, lebih menakjubkan ada yang mintak duit baki selepas memberikan derma. Kita terlalu berkira kalau mahu menderma.

Tetapi kalau dalam urusan lain, tak pernah kita mahu berkira. Lebih-lebih lagi kalau ia berkait dengan hobi dan minat kita. “Ini hobi bang, biarlah habis beribu-ribu pun, janji saya puas.” Dan kita memang jarang berkira kalau ia membabitkan pembelian liabiliti & doodads seperti kereta baru, barang kemas baru, baju baru, minum air kopi bernilai RM 10 secawan dan segala perkara yang bersifat bermewah-mewah.

Bukan tidak boleh bermewah, boleh, tetapi jangan lupa menderma sama. Kalau kita sanggup menghabiskan duit beratus ringgit dalam urusan lain, kenapa tidak mendermakan jumlah yang sama ke dalam tabung-tabung masjid, sekolah-sekolah dan rumah anak yatim?

Menderma bukan perkara terakhir yang kita lakukan. Ia bukan kalau “ada lebih” baru buat. Sekiranya anda serius untuk membaiki kedudukan kewangan anda, baik dari sudut peribadi, keluarga dan perniaga maka jangan mengambil sikap sambil lewa dalam urusan ini.Tak perlu tunggu nanti untuk menderma. Lakukanlah sekarang. Lagi senyap anda melakukannya lagi bagus. Tetapi ada syaratnya, ikhlas. Jangan mengungkit, dan jangan menyakiti pihak yang anda berikan duit anda itu tadi. Kalau anda tidak ikhlas mengeluarkan sedekah, maka simpanlah kembali duit anda ke dalam kocek semula.. Itu adalah lebih baik.



“Ambillah bahagian dari harta mereka menjadi sedekah atau zakat, supaya dengan itu engkau membersihkan mereka dari dosa dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk). Dan berdoalah kepada mereka, sesungguhnya doamu itu penenang bagi mereka, dan Allah itu maha mendengar dan maha mengetahui.”

(Al-Taubah (9): 103)


“Perbandingan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah (berzakat/sedekah) seperti sebiji benih yang menghasilkan tujuh tangkai dan setiap tangkai itu pula menghasilkan seratus biji benih (buah). Dan Allah itu melipatgandakan kekayaan bagi barangsiapa yang dikehendaki- Nya dan Allah itu Maha Kekayaan-Nya dan lagi amat mengetahui.”

(al-Baqarah (2): 261)

Yayasan Pembangunan Nur Hikmah (No. Pendaftaran 646393-A) ditubuhkan bagi membantu anak-anak yatim, miskin serta anak terbiar.

Pada masa ini pihak yayasan sedang menjalankan berbagai program bagi mempertingkatkan kemudahan asas, peningkatan tahap pendidikan serta pembangunan insan bagi beberapa buah rumah jagaan anak-anak yatim, miskin serta anak terbiar di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Rumah-rumah tersebut ialah Rumah Nurul Iman di Manjoi, Ipoh, Perak , Pondok Penyayang Raudah, Gombak, Selangor, Rumah Jagaan Nur Hikmah Kajang , Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Sri Sabah dan Rumah Jagaan Darul Qana'ah Gombak, Kuala Lumpur. Beberapa buah lagi rumah jagaan juga sedang dalam proses untuk dimasukkan didalam program sokongan Yayasan Pembangunan Nur Hikmah.


MELALUI MAYBANK

Anda dijemput menyalurkan sumbangan untuk anak-anak ini melalui Yayasan Pembangunan Nur Hikmah. Sumbangan boleh disalurkan melalui MAYBANK2U kedalam akaun KHIDMAT NURHIKMAH 564306010030 , letakkan alamat email presiden@nurhikmah. org.my.

MELALUI CIMB ONLINE

Caranya ialah :

1. Login ke https://www. cimbclicks. com.my/

2. Pilih Pay Bills

3. Pilih Akaun Anda (Payment From)

4. Pilih Payment To >> Payee List

5. Pilih Yayasan Pembangunan Nur Hikmah

6. Masukkan Nama Anda (optional)

7. Masukkan Contact No. (optional)

8. Masukkan Jumlah

9. Tekan Submit


YAYASAN PEMBANGUNAN NUR HIKMAH
No. Pendaftaran : 646393-A
No. 16-3, Jalan Mesra Niaga,
Taman Mesra,
43000 Kajang,
Selangor Darul Ehsan.
Telefon : 03-87332411
Fax : 03-87332967
Laman web : www.nurhikmah. org.my
EMAIL : presiden@nurhikmah. org.my

Kerajaan NS setuju kaji Akta Kebangkrapan

Dari keratan akhbar Utusan Malaysia

REMBAU 4 Ogos - Kerajaan negeri bersetuju supaya Akta Kebangkrapan 1967 dikaji semula bagi memastikan mereka yang teraniaya terutama penjamin mendapat pembelaan sewajarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, adalah tidak adil jika penjamin diisytihar bankrap sedangkan mereka bukan peminjam sebenar.

Beliau menegaskan, orang yang bankrap merupakan satu beban kepada kerajaan kerana mereka tidak boleh bekerja serta tidak boleh meneruskan kehidupan yang baik dan sempurna.

"Mereka juga hilang kemampuan untuk membuat pinjaman. Kita kehilangan aset insan yang baik hanya kerana diisytihar bankrap.

"Adalah tidak adil juga kepada penjamin atas dasar mereka kenalan rapat atau saudara tiba-tiba diberikan notis bankrap kerana peminjam gagal membayar pinjaman," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Taklimat Bergerak Keusahawanan Daerah Rembau di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa Akta Kebangkrapan 1967 akan dikaji semula dalam usaha membantu mereka yang bankrap, keluar daripada masalah itu dan meneruskan hidup tanpa bebanan hutang.

Dalam hubungan ini Mohamad mencadangkan supaya seseorang yang diisytiharkan bankrap diberikan tempoh tertentu misalnya lima hingga 10 tahun sebelum ditarik balik.

Beliau juga meminta institusi kewangan berunding dengan peminjam berdasarkan senario hari ini apabila ramai yang telah diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi.

"Kalau dahulu ada yang boleh membayar RM1,000 untuk pinjaman perumahan tetapi hari ini mereka hanya mampu membayar RM200. Tak kan bank hendak rampas rumah mereka.

"Sekurang-kurangnya berikanlah kelonggaran supaya mereka boleh membayar jumlah yang mereka mampu," ujar beliau.

Kakitangan awam dibebani hutang

Dari Keratan Akhbar Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Sebahagian besar daripada 1.2 juta orang kakitangan awam di negara ini berhutang, menyebabkan ada di antaranya membawa pulang hanya 40 peratus sahaja daripada gaji mereka setiap bulan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman mendedahkan, ada dalam kalangan kakitangan awam memperoleh pendapatan boleh guna yang sedikit, malah ada yang mencapai tahap teruk.

''Ada kes di mana mereka yang berumur 50 tahun belum habis membayar hutang, malah lebih teruk lagi ada yang kehabisan bayaran gratuiti kerana menjelaskan pinjaman," katanya kepada Utusan Melayu Mingguan, baru-baru ini.

(Laporan penuh mengenai beban hutang kakitangan awam ini dapat diikuti dalam Utusan Melayu Mingguan, esok).

Menurutnya, kumpulan berpendapatan sederhana dan bawahan adalah paling ketara berhutang, setidak-tidaknya membuat pinjaman perumahan dan kenderaan atau pinjaman peribadi.

Omar berkata, bebanan hutang yang terpaksa ditanggung oleh kakitangan awam boleh dilihat apabila ramai di antara mereka terpaksa bekerja secara sambilan siang dan malam.

''Dianggarkan lima peratus kakitangan awam terpaksa bekerja sambilan,'' ujarnya.

Beliau memberi contoh daripada 20,000 pemandu teksi di Lembah Klang, 10 peratus adalah kakitangan awam yang melakukannya secara sambilan.

Katanya, terdapat kes-kes teruk sehingga ada yang tidak datang kerja kerana tidak mempunyai wang.

''Jika datang sekali pun tidak buat kerja kerana hilang tumpuan akibat beban hutang,'' ujarnya yang bimbang dengan fenomena tersebut.

Kemahiran urus kewangan penting

Dari keratan akhbar Utusan Malaysia

Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN

MEDIA baru-baru ini melaporkan, ramai penjawat awam berhutang untuk membeli rumah dan kenderaan. Bagaimanapun penulis pasti ia bukan masalah penjawat awam sahaja.

Berhutang untuk membeli rumah dan kenderaan adalah perkara lazim kerana harga kedua-duanya tinggi dan tidak termampu untuk dibeli secara tunai. Berhutang untuk memiliki rumah dan kenderaan dianggap wajar kerana ia merupakan keperluan hidup.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda: Di antara kebahagiaan hidup seseorang itu ialah mempunyai isteri yang baik serta kediaman dan kenderaan yang baik.

Selain hutang rumah dan kenderaan, ramai yang turut menanggung hutang peribadi daripada koperasi atau bank-bank perdagangan.

Sesetengah mereka pula menanggung hutang tidak formal apabila meminjam daripada ahli keluarga mahupun rakan karib. Itu belum dikira hutang membeli kain sutera yang bukan sahaja mahal, tetapi memerlukan kos penjagaan yang tinggi.

Ada juga yang berhutang untuk membeli pinggan-mangkuk berjenama yang hanya dipakai dua kali setahun ketika hari raya.

Sememangnya ramai yang suka berhutang sedangkan Uqbah bin Amir meriwayatkan Nabi Muhammad bersabda: Janganlah engkau takut-takuti jiwa setelah ia tenteram." Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah itu? Baginda menjawab: "Hutang".

Hadis ini menjelaskan, berhutang itu tidak digalakkan oleh Islam. Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang dilarang. Sebaliknya dibenarkan dalam keadaan tertentu.

Jika tidak, tidak mungkin diturunkan wahyu mengenai perkara-perkara yang mesti dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam sesuatu urusan hutang seperti yang dijelaskan dengan panjang lebar dalam Surah al-Baqarah, ayat 282-283.

Secara ringkas dalam kedua-dua ayat ini, Allah memerintahkan agar mereka yang terlibat dalam hutang: (a) menulis butiran hutang seperti jumlah, tempoh bayaran, tarikh pinjaman, tarikh pinjaman akan dilangsaikan dan seumpamanya; dan, (b) mewujudkan saksi bagi mengesahkan urusan hutang ini dijalankan dengan perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Perincian yang diberikan oleh kedua-dua ayat ini juga menunjukkan bahawa mereka yang berhutang, wajib membayar hutang tersebut. Malah, jika orang yang berhutang meninggal dunia sebelum melangsaikan hutang, harta peninggalannya hendaklah digunakan untuk melunaskan hutang itu sebelum diagihkan kepada waris-warisnya.

Kewajipan membayar hutang ditegaskan oleh hadis: Diampunkan semua dosa bagi orang yang mati syahid kecuali hutangnya kepada manusia. (Hadis riwayat Muslim).

Islam memberikan panduan lengkap berkenaan hutang. Namun, berapa ramaikah umat Islam yang mengambil berat tentang hal ini? Berapa ramaikah yang tahu Islam tidak menggalakkan kita berhutang?

Berapa ramai pula yang tahu bahawa butiran hutang perlu dicatatkan dan perlunya saksi dalam setiap urusan hutang, bukan hanya ketika berhutang dengan bank, tetapi juga dengan saudara-mara dan kawan-kawan? Berapa ramai pula yang berhutang sesuka hati tanpa memikirkan apakah tujuan ia berhutang itu dibenarkan oleh Islam? Berapa ramai pula yang tahu bahawa membayar hutang itu wajib?

Dalam tinjauan penulis mengenai tingkah laku berhutang masyarakat Islam di kalangan 130 responden, didapati majoriti responden berpendapat pinjaman peribadi patut digalakkan walaupun Islam tidak menggalakkan hutang.

Selain itu, walaupun terdapat perintah agar butiran hutang dicatatkan, majoriti responden tidak berbuat demikian apabila melibatkan saudara mara dan rakan handai.

Majoriti responden membuat pinjaman peribadi untuk membuat bayaran pendahuluan membeli kereta, membayar hutang-hutang lain, membiayai pendidikan dan membuat pelaburan.

Jelas bahawa masyarakat kita ada masalah dalam perkara hutang. Sebagai umat yang sikap serta tingkah lakunya dipandu oleh syariat, pendirian Islam tentang hutang perlu disebarluaskan.

Umat Islam perlu tahu tentang pendirian Islam terhadap hutang, keadaan-keadaan yang dibenarkan berhutang, perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam urusan hutang dan kewajipan membayar hutang.

Ahli masyarakat juga perlu dididik dengan kemahiran menguruskan wang agar ia digunakan secara berhemah. Menyeru mereka untuk berbelanja secara berhemah berulangkali adalah tidak memadai seandainya mereka tidak diperkasakan dengan kemahiran yang diperlukan untuk melakukannya.

Bagi majikan yang serius mahu mengelakkan pekerjanya daripada terlibat dengan hutang yang mampu mengganggu tumpuan kerja, dua langkah berikut boleh diambil.

Pertama, bagi pekerja muda yang baru melapor diri, majikan boleh menyediakan kursus kemahiran pengurusan kewangan agar mereka mendapat panduan mengenai hal ini. Kedua, untuk pekerja lain, majikan boleh memantau tabiat berhutang mereka melalui slip gaji yang diedarkan pada setiap bulan.

Bahagian kewangan boleh diarahkan untuk mengenal pasti para pekerja yang sebahagian besar gajinya dipotong untuk membayar hutang. Pekerja-pekerja ini perlu diberi kaunseling kewangan bagi mengelakkan mereka daripada terus terperangkap dengan hutang.

Pastinya, peratusan tertentu daripada gaji yang digunakan untuk membayar hutang perlu dikenal pasti lebih awal agar tindakan intervensi ini tidak terlalu lewat diberikan.

PENULIS ialah Felo Kanan, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Beban kad kredit perangkap krisis akidah

Oleh Lokman Ismail - Berita Harian

CARA hidup moden mementingkan keberkesanan dan nilai kepuasan setiap barang dan perkhidmatan digunakan. Kad kredit di antara perkhidmatan memberi kemudahan dan kepuasan kepada pemiliknya. Justeru, banyak orang yang berminat memiliki kad kredit untuk kemudahan dalam urusan berkaitan kewangan.
Menurut sumber Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 8.8 juta kad kredit dikeluarkan oleh institusi kewangan di seluruh negara dengan purata setiap pemilik mempunyai 3.17 kad kredit.

Kira-kira 60 peratus daripada pemilik kad kredit di negara ini menjelaskan pinjaman mereka mengikut masa ditetapkan. Selebihnya, 40 peratus pemilik kad kredit di negara ini gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah RM18.6 bilion (statistik Oktober 2006).

Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diistihyarkan muflis. Kira-kira 30 peratus kes muflis membabitkan pemegang kad kredit. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis ialah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun.

Dengan kata lain, di sebalik kemegahan memiliki kad kredit, pemiliknya perlu bijak menggunakannya untuk mengelak diri terjebak masalah hutang tidak mampu dijelaskan. Fenomena penggunaan kad kredit yang melanda sekarang mencetuskan budaya hutang tanpa kawalan.

Justeru, setiap orang yang ingin memiliki kad kredit perlu memikirkan kesan penggunaannya. Fikirkan apakah benar-benar memerlukan kad kredit? Jika memiliki kad kredit, mampukah mengawal tabiat berbelanja?

Kad kredit dalam bahasa mudah dipanggil kad hutang. Pemiliknya boleh membuat pembelian dan pembayaran tanpa menggunakan wang atau berhutang. Ia memberi peluang pemilik kad kredit berbelanja lebih walaupun tunai dimiliki sedikit pada ketika itu.

Golongan kaya menggunakan kad kredit bukan bertujuan mengambil hutang. Kad kredit digunakan untuk kemudahan pembayaran sesuai dengan konsep awal kewujudannya diasaskan oleh Frank MacNamara pada 1950. Pada ketika itu hanya golongan jutawan dan ternama mampu miliki.

Sebaliknya pemilik kad kredit dari golongan berpendapatan menengah menggunakan kad kredit sebagai sumber hutang mudah atau dipanggil ceti moden. Pengguna hanya perlu membuat permohonan atau hakikat sebenarnya adalah ditawarkan, dan boleh berbelanja sesuka hati selagi tidak melepasi had ditetapkan.

Sememangnya Islam tidak menghalang umatnya berhutang. Malah, hutang diharuskan untuk membiayai perkara penting ketika kesempitan wang. Islam mengharuskan hutang kerana dapat membantu golongan miskin menyelesaikan masalah yang dihadapi berkaitan wang.

Pemilik kad kredit sebenarnya bukan golongan miskin yang perlu berhutang. Kad kredit dikeluarkan kepada mereka berpendapatan agak tinggi sebagai jaminan pemiliknya dapat membayar balik perbelanjaan dibuat melalui kad kredit.

Oleh itu, ada pemilik kad kredit rasa bangga memiliki kad kredit yang meletakkan dirinya golongan kaya. Sikap ini bertentangan dengan hakikat sebenarnya. Mereka sepatutnya malu terpaksa berhutang menggunakan kad kredit.

Antara sikap buruk pemegang kad kredit ialah mengambil mudah soal hutang. Banyak pemilik kad kredit berbelanja lebih daripada kemampuan membayar balik. Sikap demikian memperlihatkan keangkuhan dan berlebih-lebihan dengan kemudahan diberikan.

Disebabkan ingin menunjuk-nunjuk, banyak pemilik kad kredit berbelanja sehingga had maksimum dibenarkan tanpa memikirkan keupayaan membayar. Belanja dahulu, soal membayarnya difikirkan kemudian.

Jadi, segala keinginan berbelanja dipenuhi dengan menggunakan kad kredit. Institusi kewangan pengeluar kad kredit pula sentiasa menggalakkan penggunaan kad kredit dengan memberi pelbagai ganjaran atau peraduan menyediakan hadiah lumayan.

Sebenarnya banyak pemilik kad kredit berbelanja kepada perkara yang tidak penting atau sesuatu yang boleh ditangguhkan perbelanjaannya. Keghairahan berhutang dijadikan satu kemegahan. Inilah sikap buruk pemilik kad kredit yang menjerat diri sendiri terjerumus ke dalam kancah kehidupan mencemari nilai moral.

Sikap angkuh dan berlebih-lebihan amat bertentangan dengan ajaran agama kerana mendatangkan banyak keburukan kepada diri sendiri. Sesiapa di dalam dirinya lahir sikap angkuh dikatakan termasuk golongan munafik.

Sebenarnya penggunaan kad kredit bukan disediakan secara percuma. Setiap urus niaga dikenakan caj perkhidmatan mengikut syarat. Hanya sebahagian syarikat menerima pembayaran melalui kad kredit tanpa dikenakan caj. Dengan kata lain, berbelanja secara tunai sebenarnya lebih menguntungkan.

Jumlah yang gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan kepada institusi kewangan pengeluar kad kredit akan dikenakan faedah. Kadar faedah dikenakan agak tinggi mengikut kadar harian. Sebab itu banyak pemilik kad kredit sukar menjelaskan hutang kad kredit yang semakin bertambah dari bulan ke bulan.

Ketika itu, banyak pemegang kad kredit menghadapi tekanan dan semakin sukar untuk menjelaskan hutang. Biarpun tidak lagi mengambil hutang baru jumlahnya semakin bertambah setiap bulan disebabkan faedah dikenakan.

Sekarang ada kaedah ‘gali lubang timbus lubang’ dalam menyelesaikan masalah hutang kad kredit. Syarikat kewangan menawarkan kad kredit baru atau tawaran memindahkan jumlah hutang daripada kad kredit syarikat lain. Proses pemindahan itu ditawarkan berserta kadar faedah lebih rendah dan hadiah tertentu.

Tindakan itu bukan menyelesaikan masalah. Untungnya sementara saja. Sekiranya sikap tidak diperbetulkan, masalah akan terus menekan diri. Pemilik kad kredit berdepan dengan suasana hidup semakin celaru dan krisis moral memerangkap diri.

Sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan seperti ditetapkan, pemegang kad kredit akan diseret ke mahkamah. Jika tidak mampu dijelaskan, maka pemegang kad kredit akan diserahkan kepada Jabatan Pemegang Harta yang akan menguruskan soal kebankrapan.

Sesiapa yang dikenakan status muflis dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal-hal tertentu.

Namun tindakan tegas itu tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada kebanyakan individu yang masih galak menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar.

Tertekan dengan kegagalan melunaskan hutang kad kredit mendedahkan seseorang melakukan perbuatan menyalahi agama dan undang-undang. Ia termasuk menerima rasuah, menipu, pecah amanah dan melakukan urus niaga haram.

Setiap hutang perlu diniatkan untuk membayarnya. Cara memastikan keupayaan membayar hutang ialah mengambil hutang mengikut keperluan saja dan diniatkan untuk membayarny

MASALAH HUTANG BOLEH DIATASI DENGAN PERANCANGAN KEWANGAN

Masalah tanggungan hutang dan kegagalan mengurus kredit dengan baik sebenarnya bukan hanya dihadapi oleh penjawat awam bahkan juga kepada tidak kurang daripada 1.72 juta orang melayu yang telah dewasa dan pencari pendapatan yang aktif di Malaysia.

Kakitangan awam amat bernasib baik kerana jaminan pendapatan tetap dan majikan iaitu kerajaan yang tentunya teguh sudah pasti memudahkan mereka mendapat pinjaman dari semua arah.Tidak semua rakyat Malaysia khususnya orang melayu memperolehi kemudahan ini. Kerana wujudnya kemudahan sedemikian rupa, ada di antara penjawat awam ini yang telah menyalahgunakan bukti pendapatan mereka itu untuk memperolehi wang pinjaman.Tetapi perkara sedemikian tidak dapat dielakkan dalam sesetengah perkara.Tuntutan keperluan semasa, kenaikan harga barangan, tanggungan hutang, kecemasan, pendidikan anak-anak dan lain-lain lagi telah memaksa mereka mengambil jalan mudah dengan meminjam seboleh-bolehnya tanpa mengira akibatnya.

Persoalannya di sini adalah apakah terdapat jalan penyelesaiannya? Jawapannya sudah tentu ada.Terdapat dua cara mengatasi masalah ini. Satu adalah menerusi penyelesaian mikro manakala cara lainnya adalah berbentuk makro iaitu dengan kerjasama kerajaan. Bagaimanapun pada kali ini penyelesaian secara mikro iaitu penglibatan individu-individu yang di dalam kategori "masalah" sahaja yang akan diketengahkan.

Sekiranya terdapat minat untuk mencari penyelesaian makro, perkara ini boleh diterangkan dengan lebih lanjut lagi. Bagaimanakah penyelesaian mikro atau berkaitan individu ini? Jawapannya adalah menerusi kreativiti dan inovasi perancangan kewangan.

Apakah itu perancangan kewangan? Perancangan Kewangan adalah satu proses di mana seseorang individu merancang masa hadapan dalam memenuhi matlamat peribadi dan kewangan melalui pembangunan dan perlaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh. Secara ringkasnya ia adalah "personal corporate finance". Ia merupakan suatu ilmu dan industri yang terpenting dalam kehidupan.

Rakyat Malaysia pada dasarnya masih tidak diberi pendedahan secukupnya mengenai perkara ini. Benar, separuh daripada manusia terkaya di dunia adalah perancang kewangan. Nama-nama seperti Warren Buffet (pemilik AIG Group) orang kedua terkaya di dunia dan keluarga Waltons (asasnya pemilik Wal-Mart)di mana 4 orang ahli kelurganya adalah antara 10 terkaya di dunia pada amnya adalah perancang kewangan yang boleh dijadikan contoh. Tujuh aspek utama dalam perancangan kewangan adalah meliputi aliran tunai, perbankan, hartanah, saham/ekuiti, insurans, cukai dan peninggalan harta (estate planning).

Asas perancangan kewangan adalah simpanan. Dengan adanya simpanan, seseorang itu boleh membentuk "platform" dengan mudah. Bagaimanapun tidak semua orang mempunyai tabiat menyimpan yang baik. Oleh itu cara alternatif yang boleh digunakan adalah dengan meminjam. Dengan kecairan yang tinggi dan kadar faedah yang rendah sekarang ini, bank adalah opsyen yang mudah dan murah bagi membentuk "platform" atau dengan kata lain, modal, bagi memulakan langkah merancang kewangan. Penubuhan platfom (modal) merupakan tunggak kepada perancangan kewangan yang menyeluruh.

Bagaimanapun, untuk menubuhkan sebuah platfom yang baik menerusi meminjam (leveraging) seseorang itu perlu mengetahui beberapa prinsip asas pengurusan kredit. Pada dasarnya platform boleh dibentuk daripada 3 sumber pendapatan, samada menerusi simpanan sendiri (tunai), pemberian (pinjaman) keluarga dan cara kebiasaan yang ramai menggunakannya yakni menerusi pinjaman daripada institusi kewangan. Manakala melalui pinjaman ini pula, individu boleh memperolehinya menerusi 3 cara juga iaitu, pinjaman peribadi, overdraf (tanpa cagaran) dan pinjaman tetap(kebiasaannya pinjaman perumahan).

Bagi individu yang ingin membina paltfom melalui cara meminjam (leveraging) ini, mereka harus memahami pengiraan kadar faedah. Sesebuah pinjaman itu terbahagi kepada 2 yang merangkumi pokok (prinsipal) dan faedah (interest). Pokok harus dibayar, tiada cara lain. Tetapi faedah boleh dielak sekiranya kita mengetahui cara pengiraannya. Terdapat 4 jenis pengiraan faedah iaitu, kadar tetap(flat rate), kebiasaannya untuk pembelian kereta atau pinjaman peribadi, kadar tahunan (yearly rests), kadar ini digunakan untuk sesetengah pembelian konsumer, kadar bulanan (monthly rests) untuk pembelian rumah(pinjaman perumahan kerajaan dan swasta) dan kadar harian (daily rests) yang digunakan untuk kemudahan overdraf dan sesetengah pinjaman perumahan swasta. Kadar faedah yang menguntungkan kita adalah kadar harian (daily rests). Ini adalah kiranya kadar sebenar (effective rate) untuk pengiraan kadar harian adalah yang paling murah.

Bagaimanpun sebelum seseorang itu meminjam persoalan pertama yang harus dijawab adalah bagaimana hendak membayarnya? Menerusi kreativiti perancangan kewangan, modal menerusi pinjaman untuk pembentukan platfom terlebih dahulu dilaburkan ke dalam alat pelaburan yang memberi pulangan serta boleh disandarkan untuk mendapatkan kemudahan overdraf. Dengan cara ini, pulangan menerusi pelaburan dengan hanya pulangan (anggaran) 8% setahun dikompaunkan untuk 8 tahun, cukup untuk membayar pinjaman tanpa perlu membayarnya. Kemudahan Overdraf boleh digunakan sebagai platfom.

Setelah pembentukan platfom (modal) ini, seseorang itu boleh melaksanakan perkara-perkara seperti berikut:-


- Menyelesai/mengurangkan hutang
- Untuk memenuhi keperluan tuntutan semasa.
- Penyediaan tabungan kecemasan
- Keperluan pendidikan anak-anak.
- Melawan kenaikan harga/inflasi.
- Penyediaan menghadapi persaraan.

Adalah salah jika anda diberitahu bahawa berhutang itu bagus. Hidup akan lebih bermakna dan mudah jika kita tiada bebanan hutang. Bagaimanapun masalahnya adalah mampukah kita membayar pembelian kita seperti membeli kereta, rumah dan lain-lain perbelanjaan yang mahal dengan tunai? Perancangan kewangan yang berjaya akan membolehkan kita melabur dan merancang tanggungan hutang kita dengan sempurna. Hasilnya nanti akan membolehkan kita membentuk kekayaan. Bagaimanapun ramai antara kita gagal mengumpul kekayaan disebabkan oleh masalah hutang. Dalam budaya meminjam khususnya di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia ini, jika boleh mereka tidak mahu meminjam, jika meminjam pula mereka tak mahu bayar. Ini merupakan satu sikap yang salah. Sepatutnya kita harus mempunyai sikap, jika perlu berhutang, hutang harus diselesaikan dengan segera. Kegagalan memenuhi faktor ini dan mengurus hutang dengan baik telah menyebabkan ramai orang tersungkur sebelum sempat memulakan langkah pertama membina kekayaan. Kebebasan kewangan pada asasnya adalah bebas daripada hutang.
Ramai orang bertanggapan bahawa perancangan kewangan hanyalah untuk golongan berada sahaja. Sebenarnya, perancangan kewangan adalah untuk semua dan mungkin lebih penting lagi bagi golongan yang berpendapatan sederhana. Ini kerana golongan ini mempunyai pelbagai komitmen dari segi kewangan dan turut mempunyai matlamat hidup yang ingin dicapai. Matlamat hidup itu boleh jadi untuk membeli rumah dalam masa lima tahun, membiayai pengajian anak-anak di universiti dalam masa 10 tahun atau ingin bersara dengan selesa dalam masa 20 tahun lagi.

Bagi mencapai matlamat ini dalam jangka masa yang telah ditetapkan, menyimpan wang dalam akaun simpanan sahaja mungkin tidak memadai. Anda perlu melabur. Perancangan kewangan yang baik membantu anda untuk menyeimbangkan pendapatan anda dengan keperluan dan komitmen yang ada. Perancangan ini juga membolehkan anda mendapatkan gambaran jelas mengenai bagaimana dan setakat mana anda perlu merancang kewangan anda.

Perancangan kewangan merupakan langkah penting kepada setiap orang yang ingin berjaya. Untuk mencapai matlamat ini, pertama sekali anda perlu menetapkan hala tuju yang jelas untuk masa depan anda. Hala tuju ini biasanya lebih mudah dikenal pasti jika ianya dihubungkaitkan dengan matlamat hidup anda. Perancangan kewangan membantu anda menjadi lebih fokus dan berada pada hala tuju yang betul dalam mencapai matlamat kewangan anda.

Perancang kewangan boleh membantu anda menyusun dan membina matlamat hidup yang jelas berdasarkan tahap kewangan yang sedia ada, serta membuat perancangan kewangan.

Apabila perancangan kewangan telah disusun, perancang kewangan akan mencadangkan strategi yang sesuai bagi membantu anda mencapai matlamat kewangan – contohnya, mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan simpanan dan pelaburan. Proses perancangan kewangan boleh memberi manfaat kepada sesiapa sahaja – tidak kira usia, tahap pendidikan atau jumlah pendapatan anda. Walaupun anda mungkin masih belum bersedia, perancangan kewangan boleh membantu anda untuk mengenalpasti berapa banyak wang yang diperlukan untuk mencapai matlamat hidup anda. "Mempunyai perancang kewangan umpama mempunyai penasihat yang baik bagi membantu anda membuat keputusan yang bijak.”

Pada asasnya, perancangan kewangan ialah mengenai membuat peruntukan yang bijak ke atas pendapatan anda supaya matlamat hidup anda boleh dicapai, tidak kira berapa pendapatan yang anda perolehi. Ia adalah untuk semua golongan dan amat penting bagi semua yang mahukan kehidupan yang lebih menjaminkan masa depan. Mungkin anda ingin mengikuti program ini dan ingin mengetahui lanjut mengenai program ini bolehlah menghubungi:

Puan Faridah Roslan di talian 019 - 281 6570 atau
email ke idaroslan03@yahoo.com
PENGURUSAN KEWANGAN PERIBADI © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute