Monday 14 December 2009

PNB Umum Dividen ASB 7.30 sen

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan skim Amanah Saham Berhad (ASB) sebanyak 7.30 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009 berbanding 7.00 sen tahun sebelumnya.

Demikian diumumkan Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji, di sini sebentar tadi. Ia membabitkan pembayaran dividen RM4.95 billion kepada pemegang unit, meningkat 19.56 peratus berbanding RM4.14 bilion tahun kewangan sebelumnya.

PNB juga mengumumkan pembayaran bonus 1.25 sen, membabitkan nilai RM537.65 juta. "Pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 6.78 juta pemegang unit yang kini melanggan RM70 bilion unit ASB," katanya.

Monday 7 December 2009

Berkat tabungan 46 tahun

KELANA JAYA: Usaha gigih sepasang suami isteri warga emas sejak 46 tahun lalu untuk mengerjakan ibadat haji akhirnya termakbul apabila dipilih untuk ke Tanah Suci tahun ini.

Said Yusof, 65, berkata dia dan isteri, Melah Mat Alim, 60, bersyukur kerana berpeluang menunaikan Rukun Islam kelima walaupun terpaksa menabung hampir setengah abad hasil daripada menoreh getah.

"Selepas berkahwin pada 1963, kami terus kumpul wang itu sedikit demi sedikit seperti kata pepatah `sikit-sikit lama-lama jadi bukit,' katanya ketika ditemui bersama jemaah lain di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Menurutnya, mereka sedar pendapatan hasil menoreh tidak seberapa dan hanya mampu menabung dalam jumlah sedikit setiap bulan namun tidak jemu berusaha bagi merealisasikan impian untuk menunaikan haji.

Said yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan berkata walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan berikutan menghidap penyakit jantung dan darah tinggi, dia sentiasa berdoa supaya ibadat hajinya dapat disempurnakan dengan izin Allah.

"Selain itu, cabaran paling besar apabila pergerakan saya terbatas berikutan mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat kemalangan dan mujur isteri ada bersama untuk membantu saya di sana," katanya yang berlepas ke Tanah Suci, awal pagi tadi dan dijangka pulang di tanah air pada 25 Disember ini.

Sementara itu, Melah berkata, peluang dijemput menjadi tetamu Allah itu digunakan sebaiknya untuk berdoa supaya arwah dua anaknya, Siti Aizul Said dan Mamat Said yang meninggal dunia akibat penyakit jantung ditempatkan di kalangan solihin.

Selain itu, menurut nenek kepada 10 anak dan 31 cucu itu, perasaan seronok dan gementar kerana pertama kali menjejakkan kaki ke Makkah selain faktor usia serta kesihatannya dan suami juga pasti membataskan pergerakan sepanjang melaksanakan ibadat itu.

Saturday 5 December 2009

Rumah RM470,000 dilelong kerana hutang RM14,000

Petikan dari Berita Harian


PUTRAJAYA: Seorang ibu tunggal dari Kluang, Johor kesal dengan tindakan syarikat pinjaman wang berlesen yang bertindak melelong rumah peninggalan arwah suami tanpa pengetahuannya.

Mangsa, Zulina Juhir, 42, mendakwa lelongan itu dibuat tanpa pengetahuannya dan pihak bank sehingga tarikh lelongan dibuat, September lalu, kira-kira tiga bulan selepas suaminya meninggal dunia.

Lebih menyedihkan, syarikat peminjam terbabit mendakwa arwah suaminya meminjam RM14,000 berdasarkan cek yang dikeluarkan syarikat berkenaan, sedangkan arwah hanya menerima RM7,000 secara tunai ketika membuat pinjaman pada 2003.

Katanya, syarikat bertanggungjawab melelong rumahnya adalah syarikat sama yang memiliki syarikat peminjam wang berlesen yang beroperasi di Batu Pahat, Johor.

“Syarikat terbabit melelong rumah saya jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa iaitu kira-kira RM320,000 sedangkan rumah berkenaan dibeli dengan harga RM470,000," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Program Penyelesaian Aduan Segera di Biro Pengaduan Awam (BPA) di sini, semalam.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah.

Menceritakan detik sedih itu, Zulina berkata, dia tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak bank atau syarikat berkenaan yang memaklumkan rumahnya terpaksa dilelong.

“Pada hari lelongan iaitu pada 28 Oktober lalu, saya merayu syarikat pinjaman wang berlesen itu untuk menunggu kehadiran saya, tetapi syarikat itu mengatakan arahan mahkamah supaya rumah itu dilelong tepat jam 10.30 pagi,” katanya.