Monday 7 December 2009

Berkat tabungan 46 tahun

KELANA JAYA: Usaha gigih sepasang suami isteri warga emas sejak 46 tahun lalu untuk mengerjakan ibadat haji akhirnya termakbul apabila dipilih untuk ke Tanah Suci tahun ini.

Said Yusof, 65, berkata dia dan isteri, Melah Mat Alim, 60, bersyukur kerana berpeluang menunaikan Rukun Islam kelima walaupun terpaksa menabung hampir setengah abad hasil daripada menoreh getah.

"Selepas berkahwin pada 1963, kami terus kumpul wang itu sedikit demi sedikit seperti kata pepatah `sikit-sikit lama-lama jadi bukit,' katanya ketika ditemui bersama jemaah lain di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Menurutnya, mereka sedar pendapatan hasil menoreh tidak seberapa dan hanya mampu menabung dalam jumlah sedikit setiap bulan namun tidak jemu berusaha bagi merealisasikan impian untuk menunaikan haji.

Said yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan berkata walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan berikutan menghidap penyakit jantung dan darah tinggi, dia sentiasa berdoa supaya ibadat hajinya dapat disempurnakan dengan izin Allah.

"Selain itu, cabaran paling besar apabila pergerakan saya terbatas berikutan mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat kemalangan dan mujur isteri ada bersama untuk membantu saya di sana," katanya yang berlepas ke Tanah Suci, awal pagi tadi dan dijangka pulang di tanah air pada 25 Disember ini.

Sementara itu, Melah berkata, peluang dijemput menjadi tetamu Allah itu digunakan sebaiknya untuk berdoa supaya arwah dua anaknya, Siti Aizul Said dan Mamat Said yang meninggal dunia akibat penyakit jantung ditempatkan di kalangan solihin.

Selain itu, menurut nenek kepada 10 anak dan 31 cucu itu, perasaan seronok dan gementar kerana pertama kali menjejakkan kaki ke Makkah selain faktor usia serta kesihatannya dan suami juga pasti membataskan pergerakan sepanjang melaksanakan ibadat itu.

0 comments:

Post a Comment