Saturday 5 December 2009

Rumah RM470,000 dilelong kerana hutang RM14,000

Petikan dari Berita Harian


PUTRAJAYA: Seorang ibu tunggal dari Kluang, Johor kesal dengan tindakan syarikat pinjaman wang berlesen yang bertindak melelong rumah peninggalan arwah suami tanpa pengetahuannya.

Mangsa, Zulina Juhir, 42, mendakwa lelongan itu dibuat tanpa pengetahuannya dan pihak bank sehingga tarikh lelongan dibuat, September lalu, kira-kira tiga bulan selepas suaminya meninggal dunia.

Lebih menyedihkan, syarikat peminjam terbabit mendakwa arwah suaminya meminjam RM14,000 berdasarkan cek yang dikeluarkan syarikat berkenaan, sedangkan arwah hanya menerima RM7,000 secara tunai ketika membuat pinjaman pada 2003.

Katanya, syarikat bertanggungjawab melelong rumahnya adalah syarikat sama yang memiliki syarikat peminjam wang berlesen yang beroperasi di Batu Pahat, Johor.

“Syarikat terbabit melelong rumah saya jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa iaitu kira-kira RM320,000 sedangkan rumah berkenaan dibeli dengan harga RM470,000," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Program Penyelesaian Aduan Segera di Biro Pengaduan Awam (BPA) di sini, semalam.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah.

Menceritakan detik sedih itu, Zulina berkata, dia tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak bank atau syarikat berkenaan yang memaklumkan rumahnya terpaksa dilelong.

“Pada hari lelongan iaitu pada 28 Oktober lalu, saya merayu syarikat pinjaman wang berlesen itu untuk menunggu kehadiran saya, tetapi syarikat itu mengatakan arahan mahkamah supaya rumah itu dilelong tepat jam 10.30 pagi,” katanya.

0 comments:

Post a Comment