Wednesday 25 November 2009

KWSP Lancar Kempen Kemaskini Penamaan Simpanan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melancarkan kempen kesedaran untuk mengingatkan ahli mengenai kepentingan membuat penamaan simpanan KWSP mereka sebagai usaha melindungi kebajikan keluarga sekiranya ahli meninggal dunia.

“Oleh kerana penamaan menentukan siapa yang sepatutnya menerima simpanan KWSP ahli, ia boleh memberikan perlindungan kewangan kepada waris sekiranya ahli meninggal dunia. Penamaan bukan sahaja boleh mempercepatkan urusan bayaran pengeluaran kepada waris ahli malah ia dapat mengelakkan orang tersayang daripada terus menderita,” kata Nik Affendi Jaafar, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tanpa penamaan, waris ahli perlu mengemukakan dokumen seperti Surat Kuasa Mentadbir, Surat Probet atau Perintah Pembahagian dari pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyokong permohonan pengeluaran simpanan ahli. Proses untuk mendapatkan dokumen-dokumen ini akan mengambil masa yang lama dan berkemungkinan dikenakan bayaran oleh pihak berkuasa terlibat.

Sejajar dengan kempen ini, KWSP akan menyiarkan iklan radio dan akhbar mulai 16 November hingga 21 Disember 2009 bagi mengingatkan ahli supaya membuat dan mengemaskini penamaan KWSP mereka.

“Sehingga kini, cuma lebih kurang 23 peratus daripada jumlah keseluruhan 12.4 juta ahli KWSP telah membuat penamaan. KWSP berharap jumlah tersebut akan meningkat dengan ketara melalui kempen kesedaran ini,” kata Nik Affendi.

Untuk membuat penamaan, ahli hanya perlu mengisi Borang KWSP 4 dan menghantarnya kepada pejabat KWSP yang berdekatan. Borang ini boleh diperoleh dari pejabat KWSP atau dimuat-turun dari laman web myEPF, kwsp.gov.my

Bagi ahli yang beragama Islam, penama bertindak sebagai pentadbir (wasi) yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan ahli mengikut Hukum Faraid.

“Sebagai ahli KWSP, adalah penting untuk mereka sentiasa mengemaskini penamaan terutamanya jika berlaku sebarang perubahan di dalam hidup seperti berkahwin, berlaku perceraian atau mendapat cahaya mata.

“Penamaan yang dikemaskini dapat memastikan simpanan ahli dibayar kepada waris yang dinamakan dengan segera,” kata Nik Affendi.

0 comments:

Post a Comment