Friday 6 November 2009

Hutang Kad Kredit Adalah Tanggungan Bersama Suami Isteri

Bismillahhirahmannirrahim

Saya ingin berkongsi maklumat yang saya dapat dalam salah satu yahoo group yang saya sertai.Semuga ianya menjadi pengajaran kepada kita semua.Kepada Encik Ahmad Falah saya ucapkan ribuan terima kasih diatas info yang amat berguna ini

Ramai yang tidak mengetahui tentang fakta ini. Harap dapat memberi maklumat berguna kepada anda semua. InsyaAllah.

Soalan:

Saya telah mengambil kad kredit sampingan (supplementary card) untuk suami atas desakannya. Saya baru mendapat tahu bahawa dia telah berbelanja berlebihan kerana selama ini saya tidak pernah menerima bil kad tersebut. Bil kad tersebut telah dihantar ke pejabat suami saya dan dia selalu menyatakan bahawa dia telah membayarnya. Kami kini sedang dalam proses perceraian di mahkamah. Bolehkan saya dipertanggungjawabk an ke atas bil suami saya? Jika ya, apakah yang boleh saya lakukan supaya dia juga dipertanggungjawabk an?
- Juriah Ali, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Terdapat dua persoalan di sini iaitu, bolehkah puan dipertanggungjawab untuk bil kredit kad suami puan dan kedua, sekiranya ya, apakah tindakan yang boleh diambil oleh puan.

Bagi soalan yang pertama, puan akan bertanggungjawab terhadap kesemua bil suami puan kerana puan merupakan pemegang kad kredit utama.

Pada kebiasaannya, pihak bank tidak akan mengambil tindakan terhadap pemegang kad kredit sampingan. Ini kerana di dalam borang permohonan untuk memasukkan pemegang kad sampingan:

1) kelulusan pemegang kad utama adalah diperlukan sebelum kad sampingan dikeluarkan.
2) Terdapat klausa dan/atau syarat dalam borang permohonan yang menyatakan bahawa pemegang kad kredit utama bersetuju untuk bertanggungjawab ke atas kesemua jumlah kredit yang telah digunakan oleh pemegang kad kredit sampingan.
3) Terdapat klausa yang memberikan pilihan terhadap pemegang kad utama sama ada untuk menghadkan jumlah kredit yang boleh diberikan kepada pemegang kad sampingan atau tidak.

Oleh yang demikian, apabila kad kredit sampingan tersebut dikeluarkan, ini bermakna pihak pemegang kad utama telah bersetuju dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak bank dan akan bertanggungjawab terhadap jumlah yang dihutang oleh pemegang kad sampingan.

Berkenaan dengan soalan kedua, terdapat beberapa keadaan yang perlu diteliti;

1. Pihak bank telah memulakan tindakan undang-undang terhadap puan tetapi belum mendapat penghakiman. Dalam keadaan ini, puan boleh berbincang dengan pihak bank supaya memasukkan suami puan sebagai salah seorang dengan dalam tindakan tersebut.

Namun, pihak bank sebagai plaintif berhak menentukan terhadap siapa ia akan dituntut. Oleh itu, sekiranya pihak bank enggan memasukkan suami puan sebagai defendan kedua, puan boleh membuat permohonan untuk memasukkan suami puan sebagai pihak ketiga dalam tindakan yang dimulakan oleh pihak bank. Dengan itu, suami puan akan bertanggungjawab untuk membayar balik kepada puan segala hutang di pihaknya sendiri.

2. Pihak bank telah mendapat penghakiman terhadap puan.
Dalam keadaan yang kedua, puan boleh memulakan tindakan undang-undang terhadap suami puan untuk mendapatkan kembali jumlah yang terhutang olehnya. Bagaimanapun, puan harus faham bahawa puan hanya akan dapat menuntut terhadap suami puan sekiranya semua bil ada di dalam simpanan puan.

Bil-bil tersebut mesti menyatakan secara nyata jumlah yang terhutang oleh puan berbanding dengan jumlah yang terhutang oleh suami puan melalui kad kredit sampingan tersebut. Kebiasaannya pihak bank akan membuka dua akaun yang berasingan bagi kedua-dua kad kredit utama dan sampingan. Puan juga boleh meminta pihak bank untuk mengemukakan salinan bil-bil tersebut.

3. Tiada tindakan undang-undang diambil oleh pihak bank tetapi puan telah menjelaskan jumlah yang terhutang itu. Akhirnya dalam keadaan ketiga, puan boleh memulakan tindakan undang-undang terhadap suami puan bagi jumlah yang telah dibayar itu.

Namun, keadaan ini adalah lebih sukar berbanding dengan keadaan yang kedua tadi kerana puan perlu membuktikan dengan jelas bahawa bayaran adalah untuk bahagian hutang bagi suami puan atau bahagian hutang puan sendiri.

Sekiranya semasa puan membuat bayaran puan tidak menyatakan dengan jelas bahawa pembayaran tersebut adalah bagi kad kredit yang mana satu, ini akan menyukarkan puan membuktikan satu kes yang kukuh terhadap suami puan.

0 comments:

Post a Comment