Tuesday 10 November 2009

Bank jaja maklumat pelanggan

(Petikan Surat Pembaca BH-10/11/2009)

BARU-BARU ini, saya menerima panggilan daripada syarikat tertentu memaklumkan saya terpilih mendapatkan kad istimewa kononnya antara 300 pemegang kad Mastercard/Visa seluruh negara. Pemanggil itu memaklumkan pelbagai kemudahan diperoleh melalui tawaran kad itu secara percuma sepanjang hayat.

Persoalan yang ingin saya bangkitkan di sini ialah bagaimana butiran peribadi saya begitu mudah diperoleh syarikat tertentu yang menawarkan kemudahan yang tidak diperlukan pihak lain. Saya bertanya bagaimana nama, alamat penuh serta nombor telefon diperoleh, namun pemanggil itu berdolak-dalik dan memaklumkan daripada pihak bank mengeluarkan kad kredit.

Memandangkan saya memilik kad kredit daripada lebih satu bank, agak sukar menentukan pihak mana yang memberi maklumat peribadi saya kepada syarikat terbabit.

Oleh itu, saya amat berharap pihak terbabit dan Bank Negara Malaysia dapat mengambil langkah tegas bagi memastikan tiada kebocoran maklumat peribadi kepada syarikat yang cuba mengambil kesempatan. Ini bukan kali pertama saya menghadapi masalah seperti ini.

Pihak insurans juga pernah menghubungi saya menawarkan pakej kesihatan dengan menyatakan saya terpilih kalangan pengguna kad kredit. Saya berharap bank tegas kepada kakitangan yang bertanggungjawab membocorkan maklumat individu kepada pihak lain demi mendapat habuan atas maklumat diberi.

Berbalik kepada perkara di atas, selepas pelbagai kemudahan dinyatakan seperti penginapan di hotel terkemuka di pelbagai negara serta dalam negeri dan kemudahan pembiayaan percuma, pada akhir perbualan bayaran RM489 perlu dijelaskan bagi mendapatkan kemudahan ditawarkan.

Saya menolak tawaran berkenaan. Kepentingan pemegang kad patut dijaga dengan baik oleh pihak bank serta pengeluar kad lain dengan amanah bukan mencari keuntungan dengan membocorkan maklumat kepada pihak lain.

ANUAR ALOR SETAR,
Alor Setar, Kedah.

0 comments:

Post a Comment