Saturday 15 August 2009

Kerajaan NS setuju kaji Akta Kebangkrapan

Dari keratan akhbar Utusan Malaysia

REMBAU 4 Ogos - Kerajaan negeri bersetuju supaya Akta Kebangkrapan 1967 dikaji semula bagi memastikan mereka yang teraniaya terutama penjamin mendapat pembelaan sewajarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, adalah tidak adil jika penjamin diisytihar bankrap sedangkan mereka bukan peminjam sebenar.

Beliau menegaskan, orang yang bankrap merupakan satu beban kepada kerajaan kerana mereka tidak boleh bekerja serta tidak boleh meneruskan kehidupan yang baik dan sempurna.

"Mereka juga hilang kemampuan untuk membuat pinjaman. Kita kehilangan aset insan yang baik hanya kerana diisytihar bankrap.

"Adalah tidak adil juga kepada penjamin atas dasar mereka kenalan rapat atau saudara tiba-tiba diberikan notis bankrap kerana peminjam gagal membayar pinjaman," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Taklimat Bergerak Keusahawanan Daerah Rembau di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa Akta Kebangkrapan 1967 akan dikaji semula dalam usaha membantu mereka yang bankrap, keluar daripada masalah itu dan meneruskan hidup tanpa bebanan hutang.

Dalam hubungan ini Mohamad mencadangkan supaya seseorang yang diisytiharkan bankrap diberikan tempoh tertentu misalnya lima hingga 10 tahun sebelum ditarik balik.

Beliau juga meminta institusi kewangan berunding dengan peminjam berdasarkan senario hari ini apabila ramai yang telah diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi.

"Kalau dahulu ada yang boleh membayar RM1,000 untuk pinjaman perumahan tetapi hari ini mereka hanya mampu membayar RM200. Tak kan bank hendak rampas rumah mereka.

"Sekurang-kurangnya berikanlah kelonggaran supaya mereka boleh membayar jumlah yang mereka mampu," ujar beliau.

0 comments:

Post a Comment