Saturday, 29 August 2009

Cara urus wang perlu dijadikan subjek di sekolah




PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong tulisan Dr. Rusinah Siron berhubung gaya hidup melebihi kemampuan yang sememangnya menjadi salah satu teras perjuangan CAP untuk semua pengguna.

Sejak ditubuhkan lagi, CAP terus memperjuangkan gaya hidup sederhana, berjimat cermat dan menentang sama sekali gaya hidup yang mementingkan kemewahan, pembaziran dan pemborosan.

Menyedari kepentingan untuk mendidik pengguna mengenai selok-belok kewangan, maka pada tahun 1980-an lagi CAP telah menerbitkan sebuah buku berjudul Anda dan Wang Anda sebagai panduan umum untuk pengguna mengenai cara menguruskan wang secara lebih bijaksana, mengetahui hak mereka dan mengelak daripada ditipu.

Betapa ramainya daripada kita yang kurang bijak dalam menguruskan soal kewangan serta menjadi bingung apabila berhadapan dengan masalah kewangan kerana kurang arif mengenai cara mengurusnya maka CAP telah mengeluarkan buku Panduan CAP Mengenai Cara Mengurus Wang dan lain-Lain.

Salah satu perkara terbaik yang ibu bapa boleh mengajar kanak-kanak ialah tabiat mengurus wang dengan bijak.

Kanak-kanak yang mempelajari kemahiran menguruskan wang yang baik akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk menjadi orang dewasa yang boleh membuat keputusan kewangan dan tidak mengalami masalah kewangan.

Sebagai panduan khusus untuk ibu bapa dan remaja, CAP juga telah menerbitkan sebuah buku kecil mengenai Wang dan Kehidupan Ketika Usia Muda memandangkan kira-kira lapan peratus rakyat Malaysia yang bankrap berusia antara 20 dan 30 tahun.

Lebih kritikal lagi ialah masalah kewangan atau lebih tepat lagi salah urus perbelanjaan kini turut menjalar dalam kalangan golongan berpendapatan rendah di desa dan juga di bandar.

Ini berlaku kerana ibu bapa tidak menyemai dan mendidik anak-anak bagaimana menguruskan kewangan dengan lebih baik sejak dari usia muda lagi.

Yang pasti ialah anak muda sekarang semakin berdepan dengan masalah pengurusan kewangan yang berbeza serta lebih sukar daripada generasi masa lalu.

Ramai orang percaya kehidupan yang baik hanya dinikmati jika seseorang itu memiliki kad kredit, kondominium, kereta, keahlian kelab, dan wang, tanggapan seumpamanya bukan sahaja bersifat materialistik malah tidak betul.

Terperangkap dalam hutang dan tidak mampu untuk keluar daripadanya adalah antara trauma yang paling besar dalam kehidupan.

Ia boleh menyebabkan anda terbeban dengan kehidupan yang resah serta keluarga yang porak-peranda.

Salah satu sebab orang sering terperangkap dalam hutang ialah kerana merasakan mereka perlu mengikut arus “tuntutan gaya hidup masa kini”, walaupun tidak mampu.

Dalam usaha mendidik pengguna berhubung perkara ini CAP juga telah mengeluarkan buku Hentikan Boros dan Hutang sebagai panduan.

Mengendalikan wang dengan bijak merupakan kemahiran hidup yang penting untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia hari ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa cara mengendalikan wang ini perlu menjadi sebahagian daripada subjek kemahiran hidup yang diajar di sekolah dan memasukkannya ke dalam kurikulum sekolah.

– S. M. MOHAMED IDRIS,

Presiden PersatuanPengguna Pulau Pinang.

1 comments:

mat marang said...

saya sokong.pengurusan kewangan perlu di ajar di sekolah rendah.Ini dapat memberi pendedahan kepada kanak-kanak kepentingan wang bila mereka dewasa nanti.http://mroslaini.blogspot.com

Post a Comment