Saturday 29 August 2009

Mendidik anak menguruskan wang


KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) – Di Amerika Syarikat, satu kajian mengenai pengurusan wang dibuat oleh Majlis Pendidikan Tabungan Rakyat Amerika dan Institut Penyelidikan Faedah Pekerja pada 2001.

Hasil kajian itu telah mendedahkan satu fakta menarik di mana majoriti ibu bapa merasa yakin terhadap pemahaman mereka menguruskan wang.

Dalam pada itu, kajian itu turut membongkarkan sikap dan tindakan negatif ibu bapa di mana 55 peratus daripada mereka menanggung hutang kad kredit setiap bulan.

Lebih memeranjatkan adalah kurang daripada separuh ibu bapa mengakui mereka mempunyai bajet yang dirancang.

Walaupun kajian itu dibuat di Amerika Syarikat, namun ada kemungkinan senario ini boleh berlaku di Malaysia.

Persoalannya, sebagai ibu bapa, berapa ramaikah antara kita mendidik anak sejak kecil mengenai cara menguruskan wang dengan bijak, misalnya menggalakkan mereka menabung dalam tabung?

Yang pasti, sesetengah ibu bapa tidak begitu terdedah dengan pengurusan kewangan semasa kecil dan setelah berkeluarga dan mempunyai anak, mereka merasa tidak begitu selesa mengenai tanggungjawab keibubapaan mengenai aspek ini.

Apa tah lagi, mereka sendiri tidak begitu yakin dengan keupayaan dalam kemahiran pengurusan kewangan sendiri.

Apa pun, sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik anak mengenai pengurusan kewangan agar mereka akan lebih berkeyakinan dan bertanggungjawab kemudian hari.

WANG DAN KANAK-KANAK

Tabiat mengurus wang harus disemai sejak awal, seawal mereka tahu mengira dan tahu menggunakan wang. Bak kata pepatah,”Melentur buluh biarlah dari rebung.”

Seelok-eloknya semaikan tabiat itu seawal umur 13 tahun dan usah tunggu hingga remaja. Bila menjangkau usia remaja, mereka terlalu sibuk dengan dunia remaja.

Usah biarkan kawan mereka yang tiada kemahiran menggunakan wang menjadi ‘guru’ kepada anak anda.

Kaedah mendidik anak menguruskan wang juga berbeza mengikut umur.

Berikut adalah panduan kaedah mengikut umur seperti yang disyorkan oleh Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) dalam bukunya mengenai ‘Kewangan Individu’.

* UMUR 3 – 5 TAHUN

Anak dalam usia seawal ini biasanya tahu apa itu wang melalui pemerhatian daripada tindak-tanduk ibu bapa.

Bawa anak anda bersama semasa membeli-belah dan mula menerangkan mengenai wang dengan menunjukkan berapa harga setiap barang.

* UMUR 6 – 7 TAHUN

Perkenalkan sistem elaun untuk setiap hari atau setiap minggu. Matlamatnya adalah untuk memberi peluang kepada mereka supaya bijak berbelanja dan menyimpan wang yang ada di tangan mereka.

* UMUR 8 – 10 TAHUN

Ibu bapa perlu menjelaskan perbezaan elaun yang diberikan kepada anak-anak berdasarkan usia dan keperluan perbelanjaan.

Biarpun wujud percanggahan pendapat mengenai berapa kerap elaun yang elok diberikan kepada anak, namun yang penting, pemberian elaun itu boleh mendidik mereka beberapa perkara penting seperti bagaimana untuk menggunakan sumber kewangan secara bijak, berwaspada semasa membeli supaya sumber kewangan itu boleh digunakan untuk jangka panjang.

Ibu bapa paling arif untuk menentukan kaedah yang sesuai dengan kematangan anak mereka.

* UMUR 11 – 14 TAHUN

Ajak anak untuk menyertai perbincangan mengenai bajet keluarga supaya mereka tahu ke mana wang disalurkan.

* UMUR 16 – 18 TAHUN

Bantu anak untuk menjadi lebih berdikari dengan mendapatkan mereka kad ATM. Galakkan mereka menambahkan simpanan dengan bekerja sambilan terutamanya pada cuti persekolahan.

Ajar mereka cara mengendalikan rekod kewangan yang boleh memantau segala pendapatan dan perbelanjaan.

PANDUAN UNTUK IBU BAPA

ACCA turut menawarkan beberapa panduan untuk ibu bapa sebagai ‘bekalan’ dalam menjayakan usaha mendidik anak menguruskan wang. Antaranya ialah:

* Sebelum mendidik anak cara menguruskan wang, pastikan ibu bapa boleh mencerminkan diri mereka sebagai ‘role model’. Cara berkesan mendidik anak menguruskan wang adalah melalui teladan kita sendiri.

Penggunaan kad kredit mungkin menggambarkan persepsi yang salah iaitu kita ada akses untuk ‘wang yang tiada had’. Jadi, mungkin kita patut mengurangkan penggunaan kad kredit ini supaya lebih mudah diterangkan penggunaan wang kepada anak.

* Sebelum keluar membeli-belah, penting untuk ibu bapa dan anak menyenaraikan barangan yang ingin dibeli. Ini menjadikan anak kita tahu adanya had berbelanja.

* Jika anda melatih anak mendapatkan barangan yang diingini dengan menyimpan sendiri duit, maka barang itu pasti akan lebih dihargai.

* Tonjolkan teladan yang baik seperti tunduk untuk mengutip wang yang jatuh atau mengira balik wang baki yang diterima setelah membayar dan tidak terus menyumbatnya ke dalam dompet. Biarpun tindakan sebegini agak kecil, namun ia memberi impak yang besar kepada anak untuk menilai harga wang.

* Pastikan juga rekod kewangan disimpan dengan kemas dan susunan teratur seperti perancangan kewangan dan bajet. Dan fahami trend perbelanjaan wang keluarga.

* Luangkan waktu lapang secara berkualiti dengan bermain permainan seperti ’saidina’ atau ‘monopoly’. Ia bukan sahaja menyeronokkan atau menghiburkan malah boleh mendidik anak memahami konsep melabur. Juga timba ilmu menguruskan kewangan melalui bahan-bahan bercetak dan internet.

* Awasi perkembangan dan kemajuan anak melalui perbincangan yang boleh dilakukan di rumah sewaktu lapang. Terangkan aspek-aspek yang praktikal mengenai pengurusan wang seperti menabung berbanding berbelanja, membuat pembelian yang bijak memandangkan pengurusan wang yang bijak boleh membantu anak-anak menetapkan matlamat dalam hidup mereka kelak.

Pendek kata, ilmu mengurus wang amat penting kerana ia akan menentukan keselesaan dan kemewahan hidup seseorang kelak. Ibu bapa berperanan membentuk pemikiran dan tabiat anak dalam menguruskan wang kerana ia adalah usaha murni yang memberi kesan berpanjangan sepanjang hayat.

Hakikatnya, jika ibu bapa tidak mahu anak mereka terus jumud dalam soal wang, giatkan usaha proaktif mendidik anak supaya ‘celik wang’.

0 comments:

Post a Comment